Tazkirah Hari ini

PEJAM celik, masa berubah dengan pantas dan Ramadan memasuki 7 hari terakhir. Bagi insan beriman, detik ini ditunggu sepanjang tahun untuk menggandakan ibadat mereka kerana 10 malam terakhir Ramadan memang banyak rahmatnya.

Bagi umat Islam, malam yang ‘dikejar’ ialah yang paling istimewa dan tinggi nilainya yang lebih baik daripada malam lain dikenali sebagai Lailatul Qadar, bermaksud Malam Kemuliaan.


Lailatul Qadar adalah malam yang membawa keberkatan dan fadilat tinggi. Allah menjadikan malam itu sungguh istimewa iaitu lebih baik daripada 1,000 bulan atau kira-kira 83 tahun.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya kami turunkan al-Quran itu pada malam Lailatul Qadar. Tahukah engkau (wahai Muhammad) apakah malam Qadar itu? Malam Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan.” (Al-Qadar: ayat 1-3)

Ibnu Majah pula meriwayatkan bahawa Anas Ibnu Malik berkata, apabila masuk Ramadan, Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini sudah datang kepada kamu satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Barang siapa tidak diberikan kebaikannya, maka sesungguhnya tidaklah ia diberikan kebaikan semuanya, melainkan kepada orang yang tidak diberikan apa-apa.”

Sesetengah ulama berpendapat, Lailatul Qadar hadir pada malam yang ganjil sesudah bahagian kedua daripada Ramadan, iaitu 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan dan paling diharapkan adalah malam ke-27.

Tarikh sebenar malam berkenaan sengaja dirahsiakan. Ini yang terbaik kerana membolehkan umat Islam yang menjalani ibadah puasa melengkapi 10 malam terakhir dengan pelbagai kerja berfaedah, seperti memperbanyakkan solat sunat, membaca al-Quran, laungan takbir dan tahmid.

Harus diingat, malam istimewa itu hanya muncul sekali setahun. Kita akan rugi jika terpaksa menunggu tahun depan jika mempersia-siakan 10 malam terakhir Ramadan kali ini.

Ramai yang percaya Lailatul Qadar hadir pada malam 27. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Ibnu Omar bermaksud: “Sesiapa yang ingin mengintip malam Lailatul Qadar hendaklah mengintip pada malam ke-27.”

Pada malam itu, turun Malaikat Jibril dengan izin Allah. Sejahteralah malam yang penuh berkat hingga terbit fajar. Mintalah doa kepada Tuhan pada malam itu. Insya-Allah dimakbulkan.

Menurut pendapat ulama, antara tanda malam Lailatul Qadar ialah malam itu sangat nyaman udaranya, tidak panas dan tidak dingin.

Sebagai tanda bahawa Lailatul Qadar sudah berlalu pada malamnya ialah keadaan cuaca pagi itu ketika matahari terbit akan didapati bahawa terbitnya matahari dengan bentuk yang putih bersih dan tidak mengeluarkan sinaran pancarannya yang terik.

Kata sesetengah ulama, orang yang mendapat malam Lailatul Qadar dapat melihat alam ini seolah-olah terang benderang, sekalipun di tempat gelap.

 

0 comments:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 DiLNaSZ |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net | Reviewed by Blogger Templates

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.